Sunday, 22 April 2012

AKIDAH ISLAM

>> Pengertian Akidah :
Akidah dari segi bahasa bererti simpulan, ikatan atau pegangan.
Akidah dari segi istilah ialah kepercayaan dan keyakinan yang pasti serta keputusan yang muktamad tidak bercampur dengan syak atau keraguan.

>> Akidah Islam :
Akidah Islam ialah keimanan (kepercayaan dan keyakinan) terhadap Allah s.w.t, beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat dan takdir Allah s.w.t sama ada baik atau buruk. Keimanan memerlukan kepercayaan dengan hati, pengucapan dengan perkataaan dan disertai dengan perbuatan atau amalan.


Keimanan kepada Allah s.w.t meliputi beriman dengan kewujudanNya, sifatNya, mengetahui perintahNya dan melaksanakan serta menjauhi laranganNya.


Kewujudan Allah s.w.t dapat dibuktikan melalui dalil akli dan naqli. Dari perspektif akli, setiap perkara yang wujud di alam ini menjadi bukti kepada kewujudan penciptanya, manakala dalil naqli, antaranya firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Ikhlas ayat 1-4 yang bermaksud; 
Katakanlah (Wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; 
dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya.                                                                  

Saturday, 21 April 2012

ADAB-ADAB MELAKSANAKAN KETAATAN

Sepertimana yang kita sedia maklum.. Perintah Allah s.w.t itu ada yang "FARDHU" dan ada yang "SUNAT". yang fardhu ialah ibarat modal iaitu (asas perniagaan). dan dengan modal ini kita akan selamat sedangkan yang sunat itu ialah keuntungan dan dengan keuntungan ini kita akan mendapat beberapa darjat kelebihan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang ertinya:
                         Allah Taala telah berfirman: (Didalam Hadith Qudsi) tidak ada suatu cara yang lebih sesuai untuk hamba-hambaKu menghampirkan diri kepadaKu dengan seumpama mereka melakukan ibadat yang Aku fardhukan keatas mereka. dan sentiasa seseorang hamba menghampirkan diri kepada Aku dengan menambah amalan yang sunat-sunat (setelah mereka melakukan yang fardhu-fardhu) sehingga Aku mencintainya, maka apabila Aku telah mencintainya maka Akulah pendengaran yang ia mendengar dengannya dan Akulah penglihatan yang ia melihat dengannya dan Akulah lidahnya yang ia bercakap dengannya dan Akulah tangannya yang ia menyentuh dengannya dan Akulah kakinya yang ia berjalan dengannya.

Firman Allah s.w.t dalam Surah Taaha Ayat 7:
                         Maksudnya: Allah mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi lagi.
Justeru, marilah kita sama-sama menjaga adab-adab kita dihadapan Allah s.w.t, baik zahir ataupun batin seperti beradabnya seseorang hamba yang hina banyak membuat kesalahan dihadapan seorang raja yang gagah perkasa dan bersungguh-sungguhlah kita menjalani adab sehingga Allah s.w.t tidak melihat kita semua ditempat yang dilarangNya dan jangan sampai kita tidak ada ditempat yang dikehendakiNya akan kehadiran kita. Dan kita tidak akan mampu berbuat demikian kecuali bila kita aturkan masa kita baik-baik dan kita susunkan wirid kita (bacaan kita) daripada waktu pagi hingga ke petang dan seterusnya ke tempat tidur semula.

Thursday, 19 April 2012

FADHILAT ILMU YANG BERMANFAAT

Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan. ( Surah Al-Mujaadilah : 11)

3 CIRI-CIRI PENUNTUT ILMU>>>
PERTAMA : Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke Negeri Akhirat. Maka ia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya untuk mendapat keradhaan Allah s.w.t dan Negeri Akhirat. Maka orang ini didalam golongan orang yang beruntung.
KEDUA : Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan yang segera (keduniaan) dan mendapatkan kemuliaan, pangkat dan harta benda. Sedangkan ia sendiri menyedari hal ini dan merasakan didalam hatinya akan kejahatan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka golongan ini adalah berada didalam golongan yang berbahaya. Jikalau ia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan " suu'lkhaatimah " kemudian urusannya terserahlah kepada kehendak Allah s.w.t. Tetapi kalau ia mendapat taufiq sebelum matinya lalu ia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntut dan sempat pula membuat pembetulan terhadap apa yang tercuai, maka bolehlah ia dikumpulkannya bersama golongan yang beruntung. Kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.
KETIGA : Orang yang telah dikuasai oleh syaitan. Maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Ia bercakap seperti percakapan ulama' dan berpakaian seperti pakaian ulama', pada hal, zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpun kekayaan dunia. Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah s.w.t kerana ia telah menyangka dirinya termasuk didalam golongan orang yang baik-baik.